Dalam risalah Ramadhan ini Imam al-Nursi menjelaskan mengenai sembilan isi penting yang berhubung dengan hikmah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak.
بسم الله الرحمن الرحيم
(( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان))
(( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان))
Maksudnya:
“ Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan perbezaan yang benar
dengan yang salah “.
( al-Baqarah : 185 )
Hikmah
pertama:
Puasa Ramadan merupakan antara rukun terawal yang disebutkan dalam
rukun Islam. Rukun ini dikira sebagai syiar Islam yang paling besar.
Kebanyakan hikmah yang lahir
daripada puasa Ramadan bertujuan untuk menzahirkan ketuhanan Rububiyyah Allah
(s.w.t). Hala tujunya juga ialah untuk kehidupan sosial manusia dan kehidupan
peribadi mereka. Ia juga mempunyai tujuan pendidikan, penyucian jiwa dan untuk
menyatakan kesyukuran kepada nikmat Allah (s.w.t) .
Antara hikmah yang banyak itu, yang kita perolehi
daripada ibadat puasa, kita akan
mengetengahkan satu hikmah yang dapat menyerlahkan ketuhanan Allah (s.w.t),
iaitu :
Allah (s.w.t) menjadikan muka bumi ini seumpama hidangan yang luas
terbentang yang dipenuhi dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Hidangan
itu diatur dengan begitu rapi dan indah sekali sehingga tidak dapat
dihitung.xayat Melalui hidangan ini, Allah (s.w.t) menunjukkan sifat rububiyah-Nya
yang sempurna. Dia menunjukkan sifat pemurah dan sifat pengasihani-Nya. Akan
tetapi disebabkan tabir ghaflah (kelalaian) dan tabir sebab musabab yang lain
manusia tidak dapat melihat hakikat yang jelas ini yang dapat memberi manfaat
dan yang dapat dijelaskan oleh keadaan ini dengan baik. Kadang-kadang manusia
juga jadi lupa … Tetapi dalam bulan Ramadan,
orang yang beriman dengan cepatnya akan menjadi seperti satu pasukan tentera
yang tersusun, lengkap bersenjata dan sedia bersaing dalam beribadat kepada
Allah (s.w.t). Seketika sebelum berbuka, mereka semua berada dalam keadaan yang
bersiap sedia untuk menyahut panggilan Yang Maha Berkuasa lagi Azali itu :
“Silakan” menjamah hidangan-Nya yang lazat itu … Merekapun menerima --- dalam
keadaan begini --- rahmat yang agung dan menyeluruh itu ; meliputi pengabdian
yang luas, teratur dan hebat. Adakah kamu fikir mereka yang tidak turut serta
dalam peribadatan yang tinggi dan yang tidak berada dalam kemuliaan seperti ini
layak disebut sebagai manusia?
Hikmah
kedua:
Ibadat
puasa mengandungi beberapa hikmat dan dengan sebab hikmat-hikmat itu, kita
mengucapkan rasa syukur kepada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.
Salah satunya ialah:
Makanan yang dibawa oleh khadam dari dapur Sultan itu ada harganya. Adalah
terlalu dungu kalau kita menyangka makanan yang bernilai itu murah dan tidak
berharga. Adalah terlalu bodoh kalau kita tidak mengenali orang yang memberikan
nikmat tersebut, sedangkan khadam itu sendiri dianugerahkan dengan pelbagai
hadiah kerana menyediakan hidangan itu kepada kita. Makanan dan nikmat yang
tidak terhitung banyaknya itu juga pasti ada harganya. Sudah pasti Allah
(s.w.t) meminta bayarannya, iaitu
pernyataan syukur kepada-Nya dan mensyukuri nikmat tersebut. Sebab zahir yang
membawa nikmat tersebut dan pemilik zahirnya hanyalah umpama khadam yang
membawa makanan itu.x Kita membayar khadam itu harga yang sepatutnya diperoleh
oleh mereka. Kita terus menerus memuji dan memuliakan mereka, bahkan kita
merendah diri kepada mereka dan berterima kasih lebih daripada yang sepatutnya,
sedangkan pemberi nikmat yang hakiki, iaitu Allah (s.w.t)lah yang berhak
menerima pujian dan ucapan syukur itu, bahkan Dia berhak lebih daripada itu.
Oleh itu, kita dapat menyatakan rasa syukur dan keredaan kita kepada Allah
dengan mengetahui punca sebenar nikmat tersebut… dan dengan menghargai nilai
serta merasai keperluan nikmat itu.
Oleh itu, puasa Ramadan merupakan
kunci kesyukuran yang tulus lagi benar; kunci pujian yang agung dan umum buat
Allah (s.w.t) . Ini kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang
banyak itu kerana mereka tidak pernah merasai betapa perit dan azabnya lapar
yang sebenar. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasai itu
semua. Mereka yang sentiasa kekenyangan tidak dapat menilai, misalnya nikmat
yang tersembunyi dalam sepotong roti kering, lebih-lebih lagi sekiranya mereka
kaya raya. Hanya orang mukmin yang dapat merasakannya apabila mereka berbuka
puasa. Mereka dapat merasakan bahawa ia adalah nikmat Allah yang berharga. Ini
dapat dibuktikan melalui daya kecapnya. Oleh itu, orang yang berpuasa ---
bermula daripada sultan hinggalah kepada yang yang paling miskin --- pada bulan
Ramadan akan mengucapkan kesyukuran yang amat bermakna kepada Allah (s.w.t).
Ini kerana mereka sedar betapa besar dan bernilainya nikmat yang agung itu.
Seseorang manusia yang menahan diri daripada menjamah makanan pada siang hari
akan menyedari bahawa ia adalah nikmat yang hakiki. Lantaran itu, dia akan
berbisik kepada dirinya sendiri: “ Nikmat itu bukan milikku. Aku tidak bebas
memakannya. Ia adalah milik orang lain. Ia adalah nikmat dan kurniaan-Nya, yang
dikurniakan kepadaku. Jadi, sekarang aku sedang menunggu arahan-Nya “… Dengan
ini, dia telah menunaikan kesyukuran yang amat bermakna terhadap nikmat
tersebut.
Dengan gambaran itu, puasa telah
menjadi kunci kesyukuran dari pelbagai sudut; kesyukuran yang merupakan tugas
hakiki setiap insan.
Hikmah
ketiga:
Salah
satu hikmat yang mengarah kepada kehidupan sosial manusia ialah:
Manusia dijadikan dengan bentuk kehidupan yang berbeza. Berdasarkan perbezaan
ini, Allah menyeru orang kaya agar menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara
mereka yang miskin. Orang kaya sudah tentu tidak dapat menghayati dengan
sepenuhnya keadaan kemiskinan yang mencetuskan perasaan kasihan belas itu.
Mereka juga tidak mampu merasai kelaparan yang dihadapi oleh orang miskin
melainkan melalui rasa lapar yang lahir
daripada berpuasa. Jika tidak kerana puasa, sudah pasti ramai orang kaya
sentiasa mengikut hawa nafsu mereka. Sudah pasti mereka tidak dapat merasai
kelaparan dan kemiskinan yang memeritkan itu. Sudah pasti mereka tidak sedar
betapa perlunya orang miskin kepada belas ihsan orang lain. Oleh itu, sifat
kasihan belas terhadap sesama manusia merupakan salah satu asas yang
mencetuskan rasa kesyukuran yang sebenar, kerana setiap orang mungkin akan
berjumpa dengan orang yang lebih miskin daripadanya. Jadi, dia berasa
bertanggungjawab untuk mengasihani orang tersebut.
Jika manusia tidak dipaksa untuk merasai sendiri betapa peritnya berlapar,
sudah pasti tidak ada seorangpun yang akan merasa kasihan terhadap orang lain,
yang akan mendorongnya supaya membantu dan menolong orang itu. Perkara ini
boleh dilakukan kerana adanya ikatan belas kasihan terhadap makhluk sejenisnya.
Jika seseorang itu membantu orang miskin yang kelaparan itu tanpa merasai
sendiri kelaparan itu, sudah pasti dia tidak akan dapat melakukannya dnegan
sempurna kerana jiwanya tidak dapat merasakan keadaan tersebut dengan
sebenar-benarnya.
Hikmah
keempat:
Dari aspek pendidikan jiwa manusia, puasa Ramadan mempunyai beberapa
hikmat. Salah satunya ialah:
Jiwa secara tabiinya tidak suka terbelenggu dengan sebarang ikatan. Ia
mengajar dirinya seperti itu sehingga ia mengingini tuhan impian untuk dirinya
sendiri. Ia mahu bergerak bebas sebagaimana yang ia suka. Ia tidak mahu
memikirkan tentang kejadiannya; yang tumbuh membesar dari nikmat Allah yang
tiada hadnya itu. Lebih-lebih lagi jika ia memiliki kekuasaan dan harta yang
banyak di atas muka bumi ini. Ini ditambah pula oleh sifat lalai dan alpa.
Dengan itu, ia seolah-olah merampas dan menelan nikmat Allah seperti seekor
haiwan tanpa mendapat keizinian-Nya.
Akan tetapi, pada bulan Ramadan yang
penuh berkat ini, diri setiap insan akan mula berjinak-jinak dengan jiwanya,
bermula daripada orang yang paling kaya hinggalah orang yang paling msikin.
Dari situ, diapun mengerti dan sedar bahawa dia bukanlah pemilik, bahkan dia
adalah milik orang lain. Ia bukanlah bebas, tetapi ia adalah hamba yang menurut
arahan. Dia tidak mampu menghulurkan tangannya untuk melakukan sekecil-kecil
perkara tanpa perintah hinggakan ia tidak mampu untuk menghulurkan tangannya
bagi mendapatkan air. Oleh itu, hancurlah tipu daya tuhan impiannya maka dengan
itu ia akan terikat kepada pengabdian kepada Allah (s.w.t). Dan ia memasuki
tugasnya yang asasinya iaitu bersyukur.
Hikmah
kelima:
Puasa
Ramadan juga bertujuan untuk mendidik jiwa manusia yang sentiasa menyuruh
melakukan kejahatan. Ia juga bertujuan untuk membentuk akhlak dan
membebaskannya daripada tindakan-tindakan yang melulu. Kita ketengahkan di sini
salah satu hikmatnya, iaitu:
Kerana lalai dan alpa, jiwa manusia akan melupakan zatnya. Ia tidak nampak
kelemahan, kehendak dan kekurangan yang terdapat dalam jiwanya itu. Kelemahan,
kehendak dan kekurangan itu memang banyak dan tidak akan habis. Bahkan, ia
tidak mahu melihat perkara-perkara yang tersembunyi dalam jiwanya itu. Ia tidak
terfikir betapa lemah dirinya, betapa ia terdedah kepada kemusnahan dan betapa
banyaknya kesukaran yang dihadapinya. Ia lupa pada asal usul kejadiannya. Ia lupa
bahawa ia mempunyai daging dan tulang yang akan rosak dan binasa dengan cepat.
Kerana itu, ia bertindak dengan menyangka bahawa ia diperbuat daripada besi
waja dan terhindar daripada kemusnahan dan kematian. Ia menyangka bahawa ia
kekal abadi. Lantaran itu, kita dapati ia terlalu bergantung kepada dunia. Ia
mencampakkan dirinya ke dalam pelukan dunia itu dengan membawa keinginan dan
ketamakan yang amat sangat. Ia mengikat dirinya dengan ikatan kemesraan dan
kasih sayang yang bersemarak. Ia menguatkan cengkaman ke atas semua benda yang
lazat dan berfaedah. Kemudian ia akan melupakan Penciptanya, yang telah
membelanya dengan penuh kasih sayang. Ia akan terjatuh ke dalam jurang akhlak
yang buruk. Seterusnya, ia akan melupakan akibat dan kesudahan hidupnya serta
kehidupan akhiratnya.
Akan tetapi, orang yang paling lalai
dan paling degil sekalipun akan merasai kelemahan, keterbatasan dan kemiskinan
mereka melalui ibadat puasa. Melalui
rasa lapar, setiap orang akan berfikir mengenai diri mereka dan perut mereka
yang berkeroncong itu. Mereka akan berfikir tentang keperluan perut mereka.
Dari situ, mereka akn berfikir betapa kerdilnya diri mereka, betapa ia
memerlukan rahmat Allah dan kasihan belas-Nya. Jauh dilubuk hatinya, ia berasa
terlalu ingin untuk mengetuk pintu taubat Allah dengan penuh kelemahan dan
kekerdilan yang nyata, jauh daripada ketakburan diri. Di samping itu, mereka
juga menyediakan diri mereka untuk mengetuk pintu rahmat Ilahi dengan tangan
kesyukuran maknawi ( jika kelalaian tidak merosakkan pandangan hati mereka ).
Hikmah
keenam:
Dari
aspek penurunan al-Quran dan bulan Ramadan sebagai bulan yang menerima
penurunan itu, kami bawakan satu hikmat, iaitu:
Oleh kerana al-Quran al-karim diturunkan pada bulan Ramadan, maka segala
kehendak jiwa yang buruk mesti dihindarkan. Perkara-perkara hina dan dusta
hendaklah dilontarkan jauh-juah sebagai persediaan untuk menyambut khitab
samawi, yang akan disambut dengan baik; sesuai dengan khitab
tersebut. Perkara ini boleh dilakukan dengan
cara mengingati waktu penurunan al-Quran itu, di samping berusaha menjiwai jiwa
kerohanian para malaikat, iaitu dengan cara meninggalkan makan dan minum serta
berqiamullail dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat suci
itu baru sahaja diturunkan. Mereka mendengar dan menghayatinya dengan penuh
khusyuk. Mereka mendengar kandungan khitab samawi itu untuk mencapai
kedudukan dan kerohanian yang tinggi. Mereka membaca ayat-ayat suci al-Quran
seolah-olah mereka mendengarnya daripada Rasulullah (s.a.w), bahkan mereka
begitu tertarik mendengarnya seolah-olah mereka mendengarnya daripada Jibril
(a.s), bahkan daripada Allah (s.w.t) sendiri, Yang Maha Berkata-kata lagi
Azali. Kemudian al-Quran itu hendaklah dibaca dan diperdengarkan kepada orang
lain sambil menjelaskan hikmat penurunannya.
Pada bulan Ramadan al-mubarak, dunia
Islam bertukar menjadi seperti sebuah masjid. Alangkah besarnya masjid itu,
yang setiap sudut dan penjurunya dipenuhi oleh para penghafal al-Quran
al-karim. Mereka membaca kalam samawi itu sehingga didengari oleh penduduk
bumi. Mereka menzahirkannya dalam bentuk yang hebat lagi menarik. Mereka
melakukannya untuk membenarkan ayat suci al-Quran yang berbunyi : (( شهر رمضان
الذي أنزل فيه
القرآن … )) dengan menegaskan bulan
Ramadan sebenarnya ialah bulan al-Quran. Sementara orang lain yang ada dalam
jemaah yang besar itu, ada di antara mereka yang mendengar bacaan para
penghafal tadi dan ada yang membaca sendiri.
Alangkah buruk dan hinanya orang yang menjauhkan diri dari masjid yang suci
ini , yang mempunyai kedudukan yang hebat itu, hanya kerana mengejar makan dan
minum serta mengikut hawa nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan!
Betapa orang itu akan diperkecilkan secara maknawi oleh ahli jemaah masjid
tersebut? Begitulah keadaan orang yang tidak berpuasa pada bulan yang mulia
ini. Mereka akan menjadi sasaran penghinaan dan diperkecilkan secara maknawi
oleh seluruh dunia Islam.
Hikmah
ketujuh:
Dari aspek
usaha manusia yang datang ke dunia ini untuk menanam tanaman akhirat dan untuk
memperniagakan tanaman itu bulan Ramadan mempunyai pelbagai hikmat. Akan
tetapi, kami ingin sebutkan satu sahaja, iaitu:
Satu pahala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan al-mubarak akan
digandakan menjadi seribu. Sebagaimana yang diketahui, setiap huruf al-Quran
al-karim mempunyai sepuluh pahala. Ia dikira sebagai sepuluh kebaikan dan ia
menghasilkan sepuluh biji buah dari Syurga sebagaimana yang diceritakan oleh
hadis Nabi (s.w.t). Pada bulan Ramadan,
setiap huruf tersebut akan melahirkan seribu buah akhirat sebagai ganti
sepuluhnya. Setiap huruf ayat al-Quran, seperti ayat al-Kursi akan membuka pintu di hadapan ribuan kebaikan itu supaya buah-buahan hakiki di akhirat
kelak akan keluar berjuntaian. Kebaikan tersebut akan bertambah pada hari
Jumaat pada bulan Ramadan dan pada malam Lailah al-Qadr pula, ia mencapai tiga
puluh ribu kebaikan.
Benar, al-Quran al-karim memberikan
sebanyak 30000 buah-buahan yang berkekalan kepada setiap hurufnya. Ia menjadi
seumpama pohon nurani seperti
pohon
Tuba di dalam Syurga yang mana pada bulan Ramadan, orang-orang mukmin mengambil
buah-buahan yang sentiasa berkekalan itu, yang mencecah jutaan … Renungilah dan
hayatilah perniagaan yang suci, kekal dan menguntungkan ini . Kemudian,
fikirlah tentang mereka yang tidak menghargai nilai huruf-huruf yang suci ini
dengan sebaik-baiknya. Alangkah besarnya kerugian yang ditanggung oleh mereka!
Begitulah, bulan Ramadan al-mubarak
ini menyerupai sebuah pameran perniagaan akhirat yang sangat hebat. Ia umpama
sebuah pasar yang sangat sibuk dan menguntungkan. Ia umpama tanah yang sangat
subur dan kaya, yang mengeluarkan hasil-hasil akhirat. Ia umpama hujan yang
turun pada musim menanam, untuk menyuburkan amalan dan keberkatannya. Ia umpama
sebuah pesta yang besar dan satu perayaan yang meriah lagi suci, untuk
mempamerkan lukisan pengabdian manusia terhadap keagungan dan kemuliaan Allah
(s.w.t).
Oleh itu, manusia
dipertanggungjawabkan untuk berpuasa agar dia tidak terus lalai dan alpa, agar
dia tidak terjerumus dengan tuntutan kehaiwanan seperti makan dan minum yang
merupakan keperluan diri, dan supaya dia dapat mengelak daripada terus
tenggelam di dalam syahwat dan perkara-perkara yang tidak memberikan apa-apa
faedah. Melalui puasanya, dia menjadi seumpama sebuah cermin yang membalikkan
sifat al-samdaniyah, yang mana dia keluar buat seketika daripada sifat
kehaiwanan dan masuk ke dalam satu keadaan yang menyerupai malaikat, atau dia
menjadi individu akhirat dan roh yang dapat dilihat melalui jasad kerana dia
ikut serta dalam perniagaan akhirat dan menjauhkan diri daripada tuntutan dunia
yang sementara ini.
Benar, Ramadan al-mubarak memberikan
kehidupan yang kekal dan apa sahaja kepada orang yang berpuasa di dunia yang
fana ini. Satu bulan Ramadan sahaja boleh memberikan kepada seseorang yang
berpuasa hasil yang boleh diperolehi oleh orang yang hiudp selama lapan puluh
tahun. Dan kedudukan Lailat al-Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan
seperti yang disebut dalam al-Quran menjadi bukti kepada rahsia ini.Misalnya, seorang raja akan menetapkan hari-hari tertentu semasa pemerintahannya atau pada setiap tahun, sama ada berdasarkan hari-hari pertabalannya atau hari-hari lain sebagai hari yang penting bagi kerajaannya. Hari-hari tersebut dijadikan hari perayaan buat rakyatnya. Pada hari itu, baginda tidak berurusan dengan rakyatnya yang setia lagi berhak itu dengan prosedur biasa, sebaliknya baginda menjadikan mereka sebagai tempat untuk menyatakan ihsan, nikmat dan kebaikannya. Baginda menjemput rakyatnya masuk ke balairong serinya tanpa ada apa-apa tabir. Layanan istimewa diberikan kepada mereka.Anugerah dan kurniaan juga turut diberikan. Begitu juga dengan perhatian yang diberikan… Begitulah juga dengan Yang Maha Berkuasa, Yang Azali, Yang Memiliki Ketinggian dan Kemuliaan, iaitu Sultan Yang Azali dan Abadi, dan Sultan Yang Maha Mulia bagi lapan belas ribu alam. Pada bulan Ramadan, Allah (s.w.t) menurunkan perintah-Nya yang mulia lagi tinggi dan al-Quran al-karim yang ditujukan kepada ribuan alam tersebut. Oleh itu, ketibaan bulan yang berkat ini dianggap seperti sebuah pesta dan perayaan Ilahi yang istimewa lagi meriah. Ia seperti sebuah pameran Rabbani yang amat hebat. Ia umpama satu majlis kerohanian yang menakjubkan, yang merupakan satu tuntutan hikmah. Selagi bulan Ramadan berupa hari-hari istimewa yang meriah dan menyeronokkan, maka bulan tersebut mestilah dipenuhi dan dihidupkan dengan ibadat puasa agar manusia bebas daripada nafsu serakah haiwan. Puasa yang sempurna ialah puasa yang melibatkan semua pancaindera manusia seperti mata, telinga, hati, imaginasi, dan fikiran sepertimana puasa yang dilakukan oleh perut. Ini bermaksud orang yang berpuasa itu hendaklah menjauhkan pancaindera tersebut daripada perkara-perkara yang haram, buruk dan tidak berfaedah. Dia juga hendaklah memandu pancaindera itu kepada pengabdian yang khusus.
Contohnya, seseorang akan menahan
lidahnya daripada bercakap bohong, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata buruk
serta menegahnya daripada melakukan kerja-kerja tersebut. Dia akan membasahkan
lidahnya dengan membaca al-Quran al-karim, berzikir kepada Allah (s.w.t),
bertasbih dengan memuji-Nya, berselawat ke atas Rasululah (s.a.w ) yang mulia
dan beristighfar serta berzikir dengan zikir
yang seumpamanya.
Misalnya: Menahan matanya daripada melihat perkara-perkara yang haram dan
menutup telinganya daripada mendengar perkataan-perkataan yang kotor .
Sebaliknya, dia hendaklah menggalakkan matanya agar melihat perkara-perkara
yang berpengajaran dan mendorong telinganya untuk mendengar al-Quran dan perkara-perkara yang benar. Dia meletakkan
seluruh pancainderanya dalam keadaan berpuasa.
Seperti yang diketahui, perut
merupakan sebuah kilang yang sangat besar. Jika operasinya terhenti dengan
berpuasa, maka operasi kilang-kilang lain yang lebih kecil dapat dihentikan
dengan lebih mudah.
Hikmah
kelapan:
Salah
satu hikmat berpuasa, yang berkait dengan kehidupan peribadi manusia dapat
dirumuskan seperti berikut:
Dalam
ibadat puasa, terdapat sejenis ubat yang paling mujarab bagi manusia, iaitu
pencegahan, sama ada secara fizikal atau maknawi. Pencegahan diakui ada dalam
bidang perubatan. Ini kerana, selagi manusia bebas makan dan minum, selagi
itulah dia akan menyebabkan kemudhratan fizikal terhadap kehidupan peribadinya.
Begitulah juga keadaan kehidupan maknawinya, kerana apabila dia memakan semua
yang diperolehinya, tanpa melihat apa yang halal dan apa yang haram, makanan
itu akan meracuni kehidupan maknawinya sehinggakan nafsunya juga sudah sampai
ke tahap mengengkari hati dan rohnya. Ia sudah tidak patuh dan tunduk lagi
kepada kedua-duanya. Nafsu itu akan mengawal diri seseorang dengan bebas tanpa
ada sebarang sekatan. Lantas, ia memandu manusia ke arah syahwatnya tanpa
dijaga dan dikawal oleh manusia itu sendiri.
Akan tetapi, dalam bulan Ramadan,
nafsu akan menjadi biasa dengan sejenis pencegahan melalui amalan berpuasa. Ia
akan berusaha dengan tekun untuk menyuci, melatih dan belajar mentaati suruhan.
Ia tidak akan ditimpa oleh penyakit yang disebabkan oleh perut yang kekenyangan
dan yang disumbat dengan pelbagai makanan. Ia akan beroleh keupayaan untuk
mendengar perintah-perintah yang datang dari akal dan syarak. Ia akan berusaha
menghindarkan diri daripada terjatuh ke lembah haram dan berusaha untuk tidak
mengeruhkan kehidupan maknawinya.
Selain itu, pada kebiasaannya, kebanyakan manuasia terdedah kepada
kelaparan. Oleh itu, mereka memerlukan latihan dan latihan itu diperoleh dengan
cara berlapar. Cara ini dapat membiasakan manusia bersabar dan mampu menanggung
kesusahan. Puasa bulan Ramadan merupakan satu latihan. Ia merupakan satu proses
membiasakan diri untuk berpuasa dan bersabar menahan lapar selama lima belas
jam atau 24 jam bagi mereka yang tidak
sempat bersahur. Oleh itu, puasa merupakan ubat yang mujarab untuk mengubat
kegelisahan dan kegopohan manusia dan ketidakmampuan mereka untuk menanggung
perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi musibah dan dugaan yang menimpa
mereka.
Perut juga begitu. Ia sendiri umpama sebuah kilang yang mempunyai ramai
pekerja dan kakitangan. Di sana; di dalam manusia itu terdapat organ yang
mempunyai hubungan dan kaitan dengan kilang tersebut. Sekiranya jiwa tidak
merehatkan tugas-tugasnya buat seketika, pada waktu siang bulan tertentu, maka
perkara ini akan menyebabkan pekerja-pekerja tersebut lupa tugas khusus mereka.
Ia akan membuatkan mereka lalai dan lupa pada zat mereka dan menjadikan mereka
berada di bawah pengaruh diri mereka. Seterusnya, ia akan merosakkan alat dan
organ lain serta mengakibatkan alat-alat itu berserabut dan terganggu kerana
bunyi mesin kilang maknawi tersebut dan asapnya yang tebal itu. Semua pandangan
akan tertumpu kepadanya dan mereka semua akan melupakan tugas penting mereka
buat seketika. Disebabkan perkara inilah, kebanyakan para wali Allah yang salih
berusaha melatih diri mereka dengan mengurangkan makan dan minum supaya mereka
dapat memanjat tangga kesempurnaan.
Akan tetapi, dengan kedatangan bulan Ramadan, para pekerja tersebut
menyedari bahawa mereka bukan dijadikan untuk kilang itu sahaja, bahkan organ
dan pancaindera itu juga dapat mengecapi kelazatan yang tinggi dan dapat
menikmati nikmat kemalaikatan dan kerohanian dalam bulan Ramadan. Daripada
terus lalai dan berpoya-poya dengan kilang itu, mereka memilih untuk memusatkan perhatian mereka kepada kelazatan
dan nikmat tersebut. Oleh itu, kamu dapat melihat orang mukmin pada bulan
Ramadan al-mubarak mendapat pelbagai cahaya, kelebihan dan kegembiraan maknawi,
bergantung kepada tahap dan kedudukan masing-masing. Terdapat pelbagai
peningkatan dan kelebihan bagi hati, roh, akal, rahsia dan perkara-perkara yang
seumpamanya. Sekalipun perut menangis dan menjerit, tetapi semua anggota di
atas itu ketawa dengan keampunan dan rahmatNya.
Hikmah
kesembilan:
Dari
segi pemusnahan nafsu serakah yang secara langsungnya menghantui jiwa,
dari aspek pengabdian yang
diperkenalkan melalui pemusnahan nafsu itu dan dari segi menzahirkan
kelemahannya di hadapan Allah (s.w.t), puasa bulan Ramadan memberikan banyak
hikmat. Antaranya ialah:
Nafsu tidak mahu mengenali tuhannya, bahkan ia mendakwa mempunyai sifat
ketuhanan sama seperti keangkuhan
Firaun yang melampau itu. Walaupun nafsu diazab dan dikasari, namun sifat
ketuhanan yang disangkakan kepunyaannya itu tetap ada. Akar tersebut tidak
mampu dimusnahkan dan tidak akan tunduk melainkan apabila berhadapan dengan
raja kelaparan.
Begitulah secara langsung, puasa Ramadan memberi pukulan maut kepada sikap
kefiraunan yang tertanam di dalam nafsu. Lalu, puasa itu mematahkan kuasa nafsu
tersebut dengan menzahirkan keterbatasan, kelemahan dan kekerdilannya serta memperkenalkan nafsu itu kepada
pengabdian.
Ada disebutkan dalam salah satu
riwayat hadis: Allah (s.w..t) telah
berfirman kepada nafsu: “ Siapakah Aku dan siapakah kamu?”. Nafsu menjawab: “
Aku adalah aku, kamu adalah kamu”. Lalu Allah (s.w.t) mengazabnya dan
menghumbankannya ke dalam neraka. Kemudian nafsu itu ditanya sekali lagi, nafsu
menjawab : “ Aku adalah aku, kamu adalah kamu “ . Sekalipun pelbagai azab dikenakan
kepadanya, sifat keakuannya tidak berubah … kemudian Allah (s.w.t) mengazabnya
dengan kelaparan, iaitu dengan membiarkannya lapar. Kemudian ditanyanya lagi: “
Siapakah Aku dan siapakah kamu?” Nafsupun menjawab: “ Kamu adalah Tuhanku Yang
Maha Mengasihani dan aku adalah hamba-Mu yang lemah”.Ya Allah! Selawat dan salam buat junjungan kami nabi Muhammd; selawat yang berupa reda buat-Mu dan kurniakanlah kepadanya bilangan pahala huruf al-Quran pada bulan Ramadan, juga buat ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kurniakan kepada mereka kesejahteraan yang banyak.
((سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العلمين))
Maksudnya:
Maha Suci Tuhanmu yang mempunyai
keperkasaan daripada apa yang mereka lakukan. Dan kesejahteraan dilimpahkan ke
atas para rasul. Dan segala puji-pujian bagi Allah Tuhan semesta alam.
( al-Saffat : 180-184 )
Amin1Sumber :- Risalah Ramadhan - Blog Saidnur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan