Halaman

Khamis, 9 Oktober 2014

(Gambar) (Video) - Bukit Bintang Bergegar - Letupan Bom Tangan


KUALA LUMPUR: Pergaduhan melibatkan kumpulan gengster dipercayai sebagai punca insiden letupan di Kompleks Sun di Jalan Bukit Bintang pada Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kumpulan gengster mungkin menjadi punca kejadian letupan, yang dipercayai menggunakan bom tangan, tetapi polis sedang menyiasat kes itu dari semua sudut.

Seorang joki kereta cedera parah dalam letupan itu dan disahkan telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera dan dimasukkan ke HKL dan Hospital Tung Shin.

Khairi berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira pukul 4.25 pagi.

"Ketika kejadian, sebahagian mangsa mahu menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire apabila satu bahan letupan jatuh ke arah mereka dari tingkat dua bangunan itu.

"Mangsa-mangsa merupakan pelanggan pub dan penghuni di hotel-hotel berdekatan.

"Sebuah kereta Toyota Camry, Mazda dan BMW turut rosak dalam letupan itu," tambahnya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai cubaan untuk membunuh di bawah Akta Senjata Api.

Seorang Mangsa Letupan Bom Di Bukit Bintang Maut


PETALING JAYA: Seorang mangsa dalam kejadian letupan bom di hadapan Kompleks Sun di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pagi Khamis meninggal dunia.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa yang merupakan pekerja joki kereta disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pagi Khamis.

Terdahulu, Khairi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi Khamis, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta bangunan itu.

"Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," katanya.

Sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera dalam kejadian itu.

Mayat mangsa letupan yang meninggal, Tiong Kwang Yie tiba di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 3 petang Khamis.

Kwang Yie, 36 yang berasal dari Sarawak adalah joki di kelab malam di tempat kejadian.

Mangsa terbabit meninggal dunia ketika di dewan bedah hospital selepas mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.

Selain itu, jurucakap HKL memaklumkan, tiga mangsa insiden letupan bom di Jalan Bukit Bintang telah dipindahkan ke Hospital Ampang.

Bagaimana pun sebab permindahan ke Hospital Ampang tidak diperjelaskan.

"Salah seorang daripada mangsa tersebut merupakan warganegara Thailand dan dua lagi tidak didedahkan," katanya.

Menurut sumber (pengurusan mayat), isteri mangsa akan tiba dari Sarawak malam ini.

Bedah siasat mayat akan dilakukan pada pagi Jumaat.






Jumaat, 3 Oktober 2014

Tanah Bencah Setiu Wetlands Perlu Dipelihara





SETIU - Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) terus berusaha untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya Tanah Bencah Setiu dipelihara sebagai tempat haiwan berlindung dan membiak.

Ketua Projek WWF-Malaysia Tanah Bencah Setiu, Ani Aiza Ashaari berkata kawasan itu sangat penting dilindungi terutama sebagai habitat unggas, tuntung sungai, tuntung laut, buaya, dan penyu berlindung dari terancam.

"Lima puluh peratus daerah Setiu di Terengganu merupakan tanah bencah iaitu meliputi lembangan Sungai Chalok, Sungai Bari, Sungai Setiu dan Sungai Merang yang bercantum dan membentuk lagun yang bersambung antara satu sama lain.

"Kalau dikirakan, terdapat 4,000 hektar tanah bencah di muara-muara sungai berkenaan yang dipenuhi pokok-pokok gelam, bakau dan nipah yang menjadi tempat anak-anak ikan berlindung," katanya kepada Bernama.


Beliau mengadakan taklimat kesedaran dan pendidikan alam sektiar 'Cakap-cakap Sains: Tanah Bencah Setiu' kepada warga pendidik daerah itu di sini hari ini.

Pada program itu, lebih 100 guru dari 13 buah sekolah menengah dan 43 sekolah rendah di seluruh daerah Setiu mengambil bahagian.

Ani Aiza berkata, pokok-pokok gelam dan nipah yang tumbuh di sekitarnya amat penting dari segi biodiversiti sebagai tempat tuntung dan penyu berlindung dan bertelur.

Katanya, untuk memastikan pembiakan ikan laut terpelihara, tanah bencah memainkan peranan apabila pokok-pokok bakau yang tumbuh di sekitarnya menjadi tempat membiak, berlindung dan mencari makan sebelum ke laut luas.

Beliau berkata, antara lain program itu diadakan bagi memberi pendedahan dan pengenalan kepada usaha dan aktiviti pendidikan alam sekitar di daerah Setiu yang dijalankan oleh pelbagai pihak.

"Program ini kita harapkan dapat menyedarkan masyarakat tentang pentingnya kawasan ini dijaga dan dipelihara sebagai khazanah untuk generasi akan datang.

"Fokus kali ini terhadap para pendidik kerana kita harap guru-guru yang telibat dengan program itu dapat memainkan peranan menerangkan kepada murid dan masyarakat tentang pentingnya permata alam Terengganu dipelihara," katanya.

Ani Aiza berkata, selain program berkenaan, WWF-Malaysia turut mengadakan pertandingan kesedaran alam sekitar Tanah Bencah Setiu 'Permata Alam Terengganu WWF-Malaysia' untuk sekolah menengah dan rendah di daerah itu. - Bernama