Halaman

Isnin, 3 Februari 2014

3 Maut Kemalangan Ngeri Melanggar Babi Hutan

SETIU 03 Feb.- Gara-gara merempuh seekor babi hutan, sebuah kereta terbabas dan bertembung dengan dua lagi kenderaan dari arah bertentangan menyebabkan tiga maut dalam kemalangan di Kilometer 48 Kampung Sungai Bari, Sungai Tong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, kejadian pukul 7.30 pagi tadi itu menyebabkan dua lagi mangsa daripada kenderaan berasingan mengalami cedera parah manakala empat lagi mangsa mengalami cedera ringan.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika kereta Proton Wira yang dipandu Wan Nor Azeen Wan Ghazali, 24, bersama dua lagi anggota keluarganya dari Tumpat, Kelantan, merempuh seekor babi hutan yang melintas sebelum terbabas ke kanan jalan.
"Ekoran kejadian itu, kereta yang dipandu pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Baharu itu kemudiannya bertembung dengan dua buah lagi kenderaan dari arah bertentangan.
"Mangsa dan ibunya Rokiah Ab Rahim, 69, maut di tempat kejadian manakala adik perempuannya Wan Nor Sofiana Wan Ghazali, 15, mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ab Rahman berkata, rempuhan itu juga menyebabkan seorang penumpang dalam kenderaan jenis MPV Toyota Innova iaitu Mohd Farham Mohd Fisol, 16, pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu.
Pemandu kenderaan Toyota Innova, Mohd Fauzi Ibrahim, 46, mengalami kecederaan parah manakala tiga lagi pelajar yang berusia antara 15 hingga 17 tahun itu mengalami cedera ringan.
Sebuah lagi kenderaan Perodua Kelisa yang turut terlibat, dipandu Mohd Fazizi Usop bagaimanapun bernasib baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang meninggal turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. - Bernama


Tiada ulasan: