Halaman

Jumaat, 3 Oktober 2014

Tanah Bencah Setiu Wetlands Perlu Dipelihara





SETIU - Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) terus berusaha untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya Tanah Bencah Setiu dipelihara sebagai tempat haiwan berlindung dan membiak.

Ketua Projek WWF-Malaysia Tanah Bencah Setiu, Ani Aiza Ashaari berkata kawasan itu sangat penting dilindungi terutama sebagai habitat unggas, tuntung sungai, tuntung laut, buaya, dan penyu berlindung dari terancam.

"Lima puluh peratus daerah Setiu di Terengganu merupakan tanah bencah iaitu meliputi lembangan Sungai Chalok, Sungai Bari, Sungai Setiu dan Sungai Merang yang bercantum dan membentuk lagun yang bersambung antara satu sama lain.

"Kalau dikirakan, terdapat 4,000 hektar tanah bencah di muara-muara sungai berkenaan yang dipenuhi pokok-pokok gelam, bakau dan nipah yang menjadi tempat anak-anak ikan berlindung," katanya kepada Bernama.


Beliau mengadakan taklimat kesedaran dan pendidikan alam sektiar 'Cakap-cakap Sains: Tanah Bencah Setiu' kepada warga pendidik daerah itu di sini hari ini.

Pada program itu, lebih 100 guru dari 13 buah sekolah menengah dan 43 sekolah rendah di seluruh daerah Setiu mengambil bahagian.

Ani Aiza berkata, pokok-pokok gelam dan nipah yang tumbuh di sekitarnya amat penting dari segi biodiversiti sebagai tempat tuntung dan penyu berlindung dan bertelur.

Katanya, untuk memastikan pembiakan ikan laut terpelihara, tanah bencah memainkan peranan apabila pokok-pokok bakau yang tumbuh di sekitarnya menjadi tempat membiak, berlindung dan mencari makan sebelum ke laut luas.

Beliau berkata, antara lain program itu diadakan bagi memberi pendedahan dan pengenalan kepada usaha dan aktiviti pendidikan alam sekitar di daerah Setiu yang dijalankan oleh pelbagai pihak.

"Program ini kita harapkan dapat menyedarkan masyarakat tentang pentingnya kawasan ini dijaga dan dipelihara sebagai khazanah untuk generasi akan datang.

"Fokus kali ini terhadap para pendidik kerana kita harap guru-guru yang telibat dengan program itu dapat memainkan peranan menerangkan kepada murid dan masyarakat tentang pentingnya permata alam Terengganu dipelihara," katanya.

Ani Aiza berkata, selain program berkenaan, WWF-Malaysia turut mengadakan pertandingan kesedaran alam sekitar Tanah Bencah Setiu 'Permata Alam Terengganu WWF-Malaysia' untuk sekolah menengah dan rendah di daerah itu. - Bernama


    

Tiada ulasan: