Halaman

Khamis, 12 Februari 2015

Nik Aziz Meninggal Dunia

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, di sini, kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira satu jam sebaik tiba di rumahnya, selepas keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Sidang media akan dibuat oleh anaknya sebentar lagi.

ORANG ramai mula membanjiri kediaman Nik Aziz sebaik mendapat maklumat pemergian Allahyarham. - Foto Nor Fazlina Abdul Rahim


Biodata

DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Tahun Lahir: 10 Januari 1931

Tempat Lahir: Pulau Melaka, Kelantan

Status:

Berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak dan memperolehi 10 cahaya mata (5 lelaki & 5 perempuan). Kesemua anak-anaknya mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama.

Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan) - 1936.

Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian.

Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu.

Universiti Deobond, India - 1952.

Lahore, Pakistan - Ilmu Tafsir Quran - 1957.

Universiti Al-Azhar, Mesir - Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.

Universiti Al-Azhar, Mesir - Sarjana Perundangan Islam.

Penguasaan Bahasa:

Melayu, Inggeris, Tamil, Urdu, Arab

Pekerjaan:

Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor.

Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka.

Penyelia Kelas Dewasa - KEMAS.

Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Politik:

1967 - Daftar sebagai ahli PAS.

1967-1969 -Pilihanraya Kecil - Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1969-1974 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1974-1978 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa).

1978-1982 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1982-1986 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1986-1990 - Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan.

1990-2013 - Menteri Besar Kelantan.


Khamis, 9 Oktober 2014

(Gambar) (Video) - Bukit Bintang Bergegar - Letupan Bom Tangan


KUALA LUMPUR: Pergaduhan melibatkan kumpulan gengster dipercayai sebagai punca insiden letupan di Kompleks Sun di Jalan Bukit Bintang pada Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kumpulan gengster mungkin menjadi punca kejadian letupan, yang dipercayai menggunakan bom tangan, tetapi polis sedang menyiasat kes itu dari semua sudut.

Seorang joki kereta cedera parah dalam letupan itu dan disahkan telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera dan dimasukkan ke HKL dan Hospital Tung Shin.

Khairi berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira pukul 4.25 pagi.

"Ketika kejadian, sebahagian mangsa mahu menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire apabila satu bahan letupan jatuh ke arah mereka dari tingkat dua bangunan itu.

"Mangsa-mangsa merupakan pelanggan pub dan penghuni di hotel-hotel berdekatan.

"Sebuah kereta Toyota Camry, Mazda dan BMW turut rosak dalam letupan itu," tambahnya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai cubaan untuk membunuh di bawah Akta Senjata Api.

Seorang Mangsa Letupan Bom Di Bukit Bintang Maut


PETALING JAYA: Seorang mangsa dalam kejadian letupan bom di hadapan Kompleks Sun di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pagi Khamis meninggal dunia.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa yang merupakan pekerja joki kereta disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pagi Khamis.

Terdahulu, Khairi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi Khamis, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta bangunan itu.

"Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," katanya.

Sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera dalam kejadian itu.

Mayat mangsa letupan yang meninggal, Tiong Kwang Yie tiba di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 3 petang Khamis.

Kwang Yie, 36 yang berasal dari Sarawak adalah joki di kelab malam di tempat kejadian.

Mangsa terbabit meninggal dunia ketika di dewan bedah hospital selepas mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.

Selain itu, jurucakap HKL memaklumkan, tiga mangsa insiden letupan bom di Jalan Bukit Bintang telah dipindahkan ke Hospital Ampang.

Bagaimana pun sebab permindahan ke Hospital Ampang tidak diperjelaskan.

"Salah seorang daripada mangsa tersebut merupakan warganegara Thailand dan dua lagi tidak didedahkan," katanya.

Menurut sumber (pengurusan mayat), isteri mangsa akan tiba dari Sarawak malam ini.

Bedah siasat mayat akan dilakukan pada pagi Jumaat.






Jumaat, 3 Oktober 2014

Tanah Bencah Setiu Wetlands Perlu Dipelihara





SETIU - Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) terus berusaha untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya Tanah Bencah Setiu dipelihara sebagai tempat haiwan berlindung dan membiak.

Ketua Projek WWF-Malaysia Tanah Bencah Setiu, Ani Aiza Ashaari berkata kawasan itu sangat penting dilindungi terutama sebagai habitat unggas, tuntung sungai, tuntung laut, buaya, dan penyu berlindung dari terancam.

"Lima puluh peratus daerah Setiu di Terengganu merupakan tanah bencah iaitu meliputi lembangan Sungai Chalok, Sungai Bari, Sungai Setiu dan Sungai Merang yang bercantum dan membentuk lagun yang bersambung antara satu sama lain.

"Kalau dikirakan, terdapat 4,000 hektar tanah bencah di muara-muara sungai berkenaan yang dipenuhi pokok-pokok gelam, bakau dan nipah yang menjadi tempat anak-anak ikan berlindung," katanya kepada Bernama.


Beliau mengadakan taklimat kesedaran dan pendidikan alam sektiar 'Cakap-cakap Sains: Tanah Bencah Setiu' kepada warga pendidik daerah itu di sini hari ini.

Pada program itu, lebih 100 guru dari 13 buah sekolah menengah dan 43 sekolah rendah di seluruh daerah Setiu mengambil bahagian.

Ani Aiza berkata, pokok-pokok gelam dan nipah yang tumbuh di sekitarnya amat penting dari segi biodiversiti sebagai tempat tuntung dan penyu berlindung dan bertelur.

Katanya, untuk memastikan pembiakan ikan laut terpelihara, tanah bencah memainkan peranan apabila pokok-pokok bakau yang tumbuh di sekitarnya menjadi tempat membiak, berlindung dan mencari makan sebelum ke laut luas.

Beliau berkata, antara lain program itu diadakan bagi memberi pendedahan dan pengenalan kepada usaha dan aktiviti pendidikan alam sekitar di daerah Setiu yang dijalankan oleh pelbagai pihak.

"Program ini kita harapkan dapat menyedarkan masyarakat tentang pentingnya kawasan ini dijaga dan dipelihara sebagai khazanah untuk generasi akan datang.

"Fokus kali ini terhadap para pendidik kerana kita harap guru-guru yang telibat dengan program itu dapat memainkan peranan menerangkan kepada murid dan masyarakat tentang pentingnya permata alam Terengganu dipelihara," katanya.

Ani Aiza berkata, selain program berkenaan, WWF-Malaysia turut mengadakan pertandingan kesedaran alam sekitar Tanah Bencah Setiu 'Permata Alam Terengganu WWF-Malaysia' untuk sekolah menengah dan rendah di daerah itu. - Bernama


    

Selasa, 16 September 2014

Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 - Cheneh Ke Kijal Dibuka

Sebahagian lagi Lebuhraya Pantai Timur (lLPT) Fasa II yang menghubungkan Cheneh ke Kijal, Kemaman sejauh 56 kilometer (km) dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya, sebelum Aidiladha.

Sebelum ini, LPT sama yang menghubungkan Jabor, Hulu Terengganu ke Cheneh, Kemaman telah dibuka pada 21 Julai 2014 lalu iaitu seminggu sebelum menjelangnya Aidilfitri. .

Ir Rosli, berkata, berdasarkan pemantauan pada Syawal lalu , laluan sepanjang 26 km itu menjadi laluan alternatif kepada orang ramai mengelak kesesakan yang sebelum ini menggunakan laluan pantai, Kemaman-Dungun dan Jerangau Jabor.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Terengganu, Ir Rosli Othman, berkata, apabila laluan Cheneh ke Kijal dapat beroperasi sebelum Aidiladha ini, dapat memendekkan lagi jarak perjalanan dan masa pengguna.

“Apabila LPT Fasa II dibuka sepenuhnya pengguna dari ibu negara, Kuala Lumpur boleh datang ke Terengganu dalam masa tiga hingga empat jam saja, “katanya.

Untuk rekod, LPT 2 sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, di Kuala Terengganu Utara itu adalah kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Ahad, 14 September 2014

Perarakan Bot Terbesar Dunia di Terengganu 2014 (Gambar)


Malaysia berjaya pecah rekod dunia Perarakan Bot Terbesar di Dunia, disertai oleh 1,180 buat bot di Kemaman, mengalahkan rekod lama yang dicatat di Sungai Thames, London tahun 2012 dan diiktiraf sebagai rekod baru dalam The Guinnes World Record.












Ahad, 7 September 2014

EYCC Ride To Tembakah Merdeka 2014 (Sungai Bari Rider) - Video

EAGLE YOUNG COMMUNITY CLUB atau (EYCC) adalah sebuah Persatuan Komuniti Belia yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Kelab yang berteraskan motorsikal, rekreasi, dan kesukarelawan ini membuka penyertaan secara terbuka kepada semua individu yang berminat tidak mengira jantina, umur dan keturunan.

EYCC Ride To Tembakah Merdeka 2014 (Sungai Bari Rider) adalah program konvoi bermotosikal terbuka yang dianjurkan oleh kelab sempena ''Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-57''. Peserta konvoi berkumpul di Kampung Sungai Bari, Setiu dan seterusnya berkonvoi beramai-ramai dengan semangat patriotik yang tinggi menjulang ''Jalur Gemilang'' di motorsikal masing-masing berarak ke Lata Tembakah di Besut. Sesampainya peserta konvoi di Lata Tembakah, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang mandi manda di Lata Tembakah menikmati anugerah alam yang cantik lagi memukau di bumi Malaysia. Disini Lahirnya Sebuah Cinta.... Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia!!!!.


Rabu, 20 Ogos 2014

Gotong Royong Perdana Daerah Setiu Peringkat Kampung Sungai Bari

Antara mereka yang hadir pada program gotong royong bergambar kenang kenangan.
Program Gotong Royong Perdana Daerah Setiu peringkat Kampung Sungai Bari 2014, terima kasih Tuan Pegawai Daerah Setiu sempat hadir untuk meraikan program gotong-royong bersama masyarakat Sungai Bari. Muafakat membawa berkat...