Halaman

Jumaat, 31 Januari 2014

Buaya tembaga 500Kg ditemui di Sungai Bari


SETIU 26 Jan.-Disangka ikan besar rupanya buaya seberat setengah tan yang terperangkap. Seorang nelayan dari Kampung Beris Tok Ku membayangkan dia bakal memperoleh ikan besar apabila pukat yang dipasang di Sungai Bari, di sini berolak ketika cuba mengangkatnya semalam.
Namun dia terkejut apabila mendapati seekor buaya tembaga sepanjang 4.8 meter yang dalam keadaan lemah terbelit di pukat berkenaan.
Buaya betina seberat 500 kilogram dan dipercayai berusia melebih 30 tahun difahamkan baharu menelan mangsanya, seekor babi hutan sebelum terperangkap.
Menurut seorang penduduk setempat, Hussin Mamat, 57, kejadian itu disedari oleh rakannya yang ke Sungai Bari kira-kira pukul 9 pagi untuk melihat pukat yang dipasangnya kelmarin.
Katanya, sebaik sahaja tiba di sungai itu dia amat terkejut kerana terdapat seekor haiwan besar yang besar di pukatnya.
''Apabila melihat buaya yang masih meronta-ronta, kawan saya itu ketakutan lalu mendapatkan pertolongan dua nelayan lain bagi menarik haiwan tersebut ke pangkalan Beris Tok Ku dengan menggunakan dua bot enjin sangkut," katanya di sini.

Dipercayai haiwan tersebut beberapa kali ditemui timbul di permukaan air oleh beberapa nelayan lain semasa mereka menangkap ikan di sepanjang sungai berkenaan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
Buaya itu yang sukar ditemui bagaimanapun mati semasa dibawa ke darat dan bangkainya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, hasil bedah siasat mendapati haiwan itu dipercayai kekenyangan atau keletihan selepas makan seekor babi sebelum ia terkena pukat yang ditahan nelayan terbabit.
Menurutnya, akibat keletihan itu buaya itu menjadi lemah ketika bergelut untuk melepaskan diri.
''Bangkai haiwan itu ditanam manakala kepalanya diambil untuk kaji selidik," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140127/dn_26/Disangka-ikan-rupanya-buaya-tembaga-yang-terperangkap#ixzz2ruArOSUR
© Utusan Melayu (M) Bhd